Selasa, 10 Jun 2014

Generasi Terakhir Umat Manusia

Teks ini diambil dari Majalah Solusi Isu 44 tulisan Umar M. Noor.

Ketika kiamat makin hampir, Nabi Isa a.s. yang akan turun kembali ke Bumi dan orang yang beriman merupakan umat Islam yang terakhir.  Setelah Allah SWT mengutus hembusan angin lembut yang menyebabkan mereka semua meninggal dunia, maka pupuslah generasi tauhid di muka bumi ini.  Islam, al-Quran dan akhlak mulia turut hilang dari muka Bumi bersama-sama pemergian mereka.

       Hanya orang kafir yang berbaki di muka Bumi.  Semakin hari cara hidup mereka semakin jauh daripada keredaan Allah SWT.  Mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan, malah tidak mengamalkan nilai-nilai moral dan adab kesopanan.  Mereka hidup bagaikan haiwan yang hanya memuaskan hawa nafsu.  Merekalah seburuk-buruk generasi manusia yang menjejakkan kaki di atas Bumi.

       Rasulullah SAW menceritakan keadaan umat terakhir ini dalam pelbagai hadisnya.  Dalam nota ini, saya akan menceritakan sebahagian daripada sifat-sifat mereka sebagai iktibar bagi kita semua.

TAK KENAL ALLAH
Sifat pertama yang paling ketara pada generasi terakhir ini ialah kejahilan mereka tentang Allah Tuhan Yang Maha Mencipta.  Mereka tidak mengenal Allah, bahkan tidak pernah menyebut nama-Nya dalam kehidupan. Mereka ateis dalam darjat yang paling teruk.

      Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: 
Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan: 'Allah, Allah'. (Riwayat Muslim)
Kalimat tauhid telah lama hilang dari muka Bumi.  Apatah lagi solat, puasa dan ritual ibadah dan hukum-hukum Islam yang lain.  Kaum Muslimin sudah pupus sama sekali dan hanya wujud dalam perbincangan sejarah sahaja.  Perbincangan mengenai kaum Muslimin pada waktu itu sama seperti perbincangan mengenai suku primitif (asal) yang sudah tiada lagi.

      Daripada Huzaifah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Islam akan luntur seperti lunturnya tulisan di atas baju sehingga tidak lagi diketahui solat, puasa, haji dan zakat.  Al-Quran akan diangkat pada satu malam sehingga tidak tertinggal satu ayat pun di Bumi. Sehingga sekumpulan orang tua bercerita: 'Kami mendapati bapa-bapa kami berkata: 'La ilaha illallah', maka kami pun mengucapkannya. (Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim)
KAABAH RUNTUH
Jika kaum Muslimin telah tiada lagi, bagaimana dengan syiar-syiar Allah di muka Bumi? Kali terakhir kota suci Mekah dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah pada masa itu adalah pada masa Nabi Isa a.s. kembali ke Bumi.  Setelah mereka semua meninggal dunia, kota Mekah sepi tanpa pengunjung.  Sepanjang puluhan tahun, tidak ada sesiapa pun lagi yang datang untuk berziarah, apatah lagi untuk beribadah.

       Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: 
 Tidak akan terjadi kiamat sehingga tiada ada seorang pun yang pergi menunaikan haji ke Baitullah. (Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya) 
Pada masa itu, tidak ada seorang pun yang mengunjungi Mekah.  Jangankan untuk beribadah, untuk melihatnya pun mereka enggan.  Ini menunjukkan iman telah hilang sama sekali dari hati seluruh umat manusia pada masa itu.  Hati mereka tidak lagi memberi ruang untuk agama dan spiritual.

      Keadaan ini bertambah parah apabila sekumpulan orang dari Habsyah (Ethiopia) datang ke Mekah lalu meruntuhkan Kaabah.  Mereka mencungkil satu persatu batu-batu binaan rumah Allah ini untuk mencari harta karun yang dipercayai tertimbun di bawahnya.

      Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Seolah-olahnya aku melihat seseorang daripada mereka, berkulit hitam dan renggang kakinya, sedang mencungkil batu-batu Kaabah satu persatu. (Riwayat al-Bukhari)
KOTA BERHANTU
Begitu juga nasib kota suci umat Islam yang kedua yakni Madinah al-Munawwarah.  Kota yang sekian lama meninggalkan kerinduan di hati umat Islam ini dibiarkan kosong tidak berpenghuni.  Madinah pada masa itu tidak lebih daripada sebuah kota "berhantu". Tiada makhluk yang berada di sana melainkan haiwan buas dan burung liar.

      Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:
Mereka akan meninggalkan Madinah dalam keadaan yang sangat indah.  Tidak ada yang tinggal di sana melainkan binatang buas dan burung-burung liar.
Fenomena ini menunjukkan betapa kerasnya hati manusia pada saat itu.  Mereka tidak lagi merindui Nabi SAW dan para sahabat Baginda.  Kota Madinah yang dipenuhi cahaya keimanan tidak dapat menembus kegelapan hati-hati mereka.  Seperti Mekah, Madinah akan menjadi sekadar suatu peninggalan sejarah.

      Daripada Umar bin al-Khattab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Seorang pengendera nanti akan melalui pinggir kota Madinah dan dia berkata: 'Tempat ini dahulunya dipenuhi ramai kaum Mukminin.' (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya)
SEPERTI KELDAI
 Darjat keimanan seringkali beriringan dengan darjat moraliti.  Apabila keimanan kepada Allah merosot, maka sifat malu dan kesopanan akan turut lenyap.  Budaya dan gaya hidup hedonisme tersebar dalam segenap lapisan masyarakat.  Kenikmatan jasadi menjadi tujuan utama hidup mereka.

     Fenomena ini memang telah berlaku kini, namun ia akan semakin parah pada akhir zaman nanti.  Dek menjadi hamba hawa nafsu, mereka bukan lagi manusia, malah lebih buruk daripada haiwan.  Zina, homoseksual dan pelbagai seks sumbang berlaku saban hari tidak kira masa atau tempat.

     Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:  
Tidak akan berlaku kiamat sehinggga kamu (manusia) berzina di tengah-tengah jalan seperti keldai.

Abdullah berkata:
Adakah perkara sebegitu akan berlaku?

Baginda SAW menjawab:
Ya, itu pasti berlaku. (Riwayat Ibn Hibban)
Perilaku yang menjijikkan ini menjadi fenomena global.  Ia berlaku di mana-mana dan dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.  Pada waktu itu, manusia yang terbaik antara mereka ialah orang yang masih memiliki sedikit perasaan malu.  Mereka memang tidak dapat melarang kemungkaran, namun hanya dapat berkata kepada pasangan yang sedang berzina : "Cubalah menghindari jalan.  Jangan halang orang yang sedang lalu-lalang." 

MEMPERLAMBAT KIAMAT
       Segala yang diberitakan oleh Rasulullah SAW ini pasti berlaku. Ini kerana Baginda telah melihat masa depan dan pelbagai kejadian yang bakal berlaku dengan izin Allah SWT. Baginda kemudiannya memberitahu umatnya bukan dengan tujuan putus asa, sebaliknya untuk satu hikmah yang Allah kehendaki.

      Kita memang tidak dapat mengubah realiti ini.  Kita juga tidak mampu menahan perjalanan masa.  Namun, ini bukan bermakna kita pasrah begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu.  Paling tidak, kita masih berkesempatan untuk memastikan zaman yang buruk itu tidak berlaku pada masa dan zaman kita.

      Saya (penulis asal) pernah mendengar muhaddith  dari Syam, Syeikh Dr. Nuruddin 'Itr berkata: "Para penuntut ilmu ialah orang yang memperlambatkan kedatangan kiamat. Merekalah yang berjasa menyelamatkan dunia ini hingga ke hari ini.  Kalau bukan kerana mereka, dunia ini telah lama hancur."

     Sebagai umat yang beriman dengan Baginda SAW, kita wajib membekalkan generasi penerus dengan ilmu dan iman agar mereka dapat menghadapi pelbagai masalah pada masa depan yang semakin mencabar. Kenalkan mereka dengan Allah dan tanamkan dengan hati mereka dengan penghormatan terhadap syiar-syiar keagamaan.

      Sungguh, setiap kali saya (penulis asal) melihat orang yang menyebarkan rasa cinta kepada Nabi SAW, hati saya (penulis asal) dipenuhi kegembiraan.  Bagi saya, kita mesti menggalakkan para pemuda mencintai Rasulullah.  Perkenalkan mereka kepada sunnah dan akhlak Baginda.  Selagi cinta Rasul berada dalam hati para pemuda, kedatangan kiamat dapat diperlambat.

MABUK
     Apabila dunia telah semakin rosak, maksiat dan dosa telah memenuhi seluruh pelosok dunia, Allah menjadi semakin murka kepada semua makhluk yang berada di muka Bumi.  Pada waktu itu, Allah SAW memerintahkan malaikat Israfil untuk meniupkan sangkakala tanda kiamat.

      Alam semesta mulai hancur berkecai dan bintang-bintang berguguran.  Tidak terbayang ketakutan yang dirasai setiap manusia pada waktu itu.  Mereka lari lintang-pukang dan memekik bagaikan orang yang sedang mabuk, walhal mereka tidak mabuk. Mereka berkeadaan demikian disebabkan azab Allah yang sangat pedih. 
  
     Daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Antara manusia-manusia yang paling buruk ialah mereka yang masih hidup sewaktu berlakunya kiamat. (Riwayat al-Bukhari)
 Semoga Allah menjauhkan diri kita dan orang yang kita cintai daripada kemurkaan dan azab-Nya. Amin ya Rab al-'alamin!

Share/Kongsi jika anda rasa Islam itu penting dalam kehidupan anda!
Teks asal: Solusi  Isu 44    Penulis asal: Umar M. Noor 

Tiada ulasan: